Friday, April 24, 2009

Jalan Dakwah ini…..




Sayyid Qutb rahimahullah pernah mengatakan, ‘Para penegak dakwah tidak boleh berputus asa dan memperbaiki jiwa dan menanam respon baik kepada orang yang didakwah. Meskipun apa juga halangan,rintangan,pendustaandan pengingkaran yang dihadapi. Jika seratus kali dakwah belum sampai ke hati, mungkin akan sampai pada kali yang ke seratus satu. Jika seribu kali da’wah belum masuk ke hati, mungkin akan masuk pada kali ke seribu satu.Jalan dakwah ini bukanlah jalan yang lembut dan mudah,sentiasa ada halangan kebatilan dan kesesatan. Taqlid dan kebiasaan yang bersemayam yang dalam hati harus disingkirkan perlahan-lahan dengan pelbagai cara. Semua lokasi yang sensitif harus disentuh……(Fi Zilalil Quran ; 4/2394)

Jalan dakwah ini mengajarkan kepada kita bahawa memang diri memerlukan dakwah.Kebersamaan bersama sahabat-sahabat lain semakin menegaskan bahawa semua harus terus bersama di jalan ini agar bahagia di dunia dan akhirat.

Rasulullah S.A.W bersabda; “ Perumpamaan aku dengan nabi sebelumku,ibarat seorang lelaki membuat sebuah bangunan, yang diperindah dan dipercantikkan seluruhnya,kecuali satu tempat untuk batu-bata di satu sudutnya. Ketika orang-orang mengelilinginya, mereka kagum dan berkata , seandainya ada batu bata diletakkan di situ. Maka akulah batu-bata ini, dan akulah penutup para nabi."

Dakwah adalah realitinya satu perjuangan yang diserukan oleh nabi terdahulu, dilanjutkan dan disempurnakan dengan dakwah yang diperjuangkan Rasullullah s.a.w. Perjuangan dakwah ini kemudiannya terus berlanjut dan diwariskan untuk para sahabat baginda, generasi tabi’in, tabi’ tabi’en, hingga kepada kita yang berjalan di atas perjuangannya hingga ke hari ini.

Jika ingin menjadi batu-bata dari bangunan agung (menyeru manusia) ini, maka pastinya tukang bata akan memilih batu-bata yang ia akan tempatkan pada bangunannya. Tak semua batu-bata diletakkan pada posisi yang tinggi, dan tidak juga semuanya harus di bawah. Bahkan terkadang si tukang bata mungkin akan memotong batu-bata tertentu mengikut ukuran untuk menutup sudut yang masih kosong pada bangunan.

Analogi ini menceritakan bahawa jika kita ingin terpilih sebagai pejuang/penyebar risalah ini, maka sentiasalah memperbaiki diri dengan ilmu,kefahaman dan amal. Juga perlulah sanggup menghadapi apa jua liku-liku dan mengikut kesesuaian masa,tempat dan keadaan di jalan dakwah ini. Bukanlah jalan dakwah yang mengikut cara kita, tetapi kita yang harus memenuhi keperluan medan dakwah.


“Sesungguhnya medan berbicara itu tidak semudah medan berkhayal. Medan berbuat tidak semudah medan berbicara. Medan jihad yang benar, tidak semudah medan jihad yang keliru. Kadang-kadang kebanyakan orang berangan –angan yang mampu diucapkan dengan lisan. Banyak orang yang hanya pandai berbicara namun hanya sedikit yang mampu bekerja bersungguh-sungguh. Dan dari yang sedikit itu banyak yang sanggup bekerja namun sangat sedikit sebenarnya yang mampu menghadapi rintangan-rintangan yang berat dalam berjihad…….” (H.A.B)

No comments: